16 January 2009

Dulu dan Kini - Israel dan Palestin

Kekejaman Israel terhadap palestin memang menjadi kutukan masyarakat kita. Sehingga adakalanya kita malas untuk mendengar dan membaca kisah penderitaan rakyat palestin. Perasaan malas itu sebenarnya adalah satu tanda kekecewaan. Kecewa kita kepada dunia, kecewa kita kepada bangsa Arab, dan pelbagai perasaan yang tidak tahu di mana hendak kita luahkan. Apakah keupayaan kita dan apakah kekuatan kita untuk membantu manusia lain yang diseksa dan dihina. Setiap kali melihat visual kekejaman Israel di televisyen dan di akhbar,maka setiap kali juga kita terbayangkan sekiranya anak-anak yang tidak berdosa diseksa dan dibunuh dengan kejam di Palestin itu adalah anak-anak kita, keluarga kita. Begitu tersentuh hati kita. Hanya yang tiada perasaan sahaja yang tidak merasa simpati apabila melihat kesedihan dan tangisan mangsa kekejaman Israel. Bagaimana pula dengan orang-orang Israel sendiri. Adakah semua orang Israel itu kejam. Siapa, bagaimana, di mana dan mengapa bangsa ini dilihat sangat kejam menindas orang-orang Palestin hari ini. Marilah kita menyingkap sejarah kewujudan bangsa ini. Marilah kita melihat dan muhasabah tentang bangsa kita. Di mana kita sekarang. Sejarah sangat penting untuk semua bangsa di dunia ini.

Israel ialah nama gelaran kepada Nabi Allah Yaakub a.s. Tersusun dari dua kalimat Ibrani (Bahasa Hebrew) .Isra ertinya Hamba. El ertinya Allah. Jadi Israel ertinya hamba yang menjadi pilihanNya. Bani Israel ialah anak anak Nabi Allah Yaakub. Yakni anak-anak cucu keturunannya yang kemudiannya digelar kaum Yahudi.


Sejarah mereka mengikut Ensiklopedia abad ke –14 Hijrah atau abad 20 Masihi karangan Muhammad Wajdi, secara ringkasnya adalah sebagaimana berikut :Bani Israel atau kaum Yahudi adalah bangsa yang telah mengambil peranan penting dalam sejarah. Dengan adanya beberapa kitab kuno kepunyaan mereka, maka dapatlah dianggap tidak ada satu bangsa pun yang dapat menandingi kelengkapan sejarah kaum Bani Israil itu.


Sejarah mereka telah dimulai sejak abad ke 20 sebelum masihi, iaitu 2000 tahun sebelum lahirnya Nabi Allah Isa berpangkal dari Nabi Allah Ibrahim a.s , bapa dari sekalian para Nabi. Ahli-ahli sejarah telah membahagikan sejarah kaum Bani Israel kepada lima peringkat :


Peringkat Pertama :
Mengambil masa selama 351tahun. Iaitu dari zaman Nabi Allah Ibrahim a.s hingga ia keluar meninggalkan Mesir.


Peringkat Kedua :
Mengambil masa selama 565 tahun,dari tahun 1645 hingga 1080 sebelum Masihi. Iaitu sejak dari keluarnya Nabi Ibrahim dari Mesir sehingga tertubuhnya kerajaan Bani Israel.


Peringkat Ketiga : Mengambil masa selama 544 tahun,dari tahun 1080 hingga 536 sebelum Masihi. Iaitu dari terciptanya kerajaan Bani Israel hingga tertawannya benteng negeri Babylon.


Peringkat keempat :
Mengambil masa selama 671tahun, dari tahun 536 sebelum Masihi hingga tahun 135sesudah lahirnya Nabi Allah Isa. Iaitu dari sejak tertawannya benteng negeri Babylon hingga hancurnya negeri tanah suci mereka Baitul Maqdis kerana dileburkan oleh Raja Rom, Adrian.


Peringkat kelima :
Iaitu peringkat yang terakhir, sejaktahun 135 Masihi hingga ke hari ini, mereka bertaburan dimuka bumi.


Pada peringkat pertama dalam sejarah kaum Bani Israel, yang dimulai sejak zaman Nabi Allah Ibrahim keluar dari Mesir, kemudiannya mendapat dua zuriat Ismail a.s dan Ishak a.s. Ismail a.s telah menurunkan zuriatnya yang dikenali kemudiannya dengan bangsa Arab. Ishak pula telah menurunkan zuriatnya yang bernama Yaakub a.s dan dialah yang digelarkan Israel. Kemudian Yaakub mendapat pula 12 orang anak . Salah seorang dari mereka mendapat pangkat yang tinggi di sisi Raja Mesir iaitu Yusuf a.s yang menjadi menteri. Bila datang bahaya kelaparan, kesemua anak-anakYaakub telah pergi meminta bantuan Yusuf a.s dan berpindah dari Kan’an di Utara Semenanjung Arab ke negeri Mesir, dimana Yusuf a.s memberikan perlindungan kepada mereka. Di sana berkembang biaknya kaum Yahudi.


Selepas beberapa lama sejak kewafatan Yusuf a.s. Firaun menindas mereka, diperasnya tenaga mereka untuk bekerja sebagai buruh paksa. Kaum lelakinya dibunuh dan wanita dibiarkan hidup meminta-minta. Sehingg Allah menurunkan bantuannya dengan diutuskan kepada Firaun dan kaum Yahudi itu Nabi Allah Musa a,s dan diperintahkan mereka berpindah ke negeri Kan’an semula iaitu tempat yang dijanjikan Tuhan akan keselamatan dan kemakmuran.


Dalam peringkat yang kedua, sejarah Bani Israel ini iaitu sejak mereka meninggalkan negeri Mesir dengan menyeberangi Laut Merah yang terbelah dengan mukjizat tongkat Nabi Allah Musa. Mereka selama 40 tahun tinggal di padang Sahara, gurun pasir yang tandus dengan didikan yang perit dan serba kasar. Nabi Allah Musa menjalankan syariat Tuhan dari wahyu yang diterima di kaki Bukit Tursini (di semenanjung Sinai).


Syariat itu dipakai untuk mengatur hidup kaum Bani Israel, sehingga baginda mangkat pada tahun 1065 sebelum masehi, lalu digantikan dengan Nabi Yusya’ sebagai ketua Bani Israel. Dari semenjak itulah berdiri kerajaan dan pemerintahan kaum Bani Israel dan dapat pul menundukkan kerajaan-kerajaan yang berjiran dengannya, sehingga pemerintahannya meliputi Semenanjung Sinai, Jordan, Palestin dan Syria.


Sejak itu, pada peringkat yang ketiga antara tahun1080 dengan 356 sebelum Masihi, kerajaan Bani Israel makin bertambah besar hingga dapat menawan negeri Babylon di Iraq dari tangan kerajaan Parsi. Pada zaman tersebut pula banyak para Nabi dan Rasul dibangkitkan dari kaum Bani Isrel untuk memberikan pengajaran dan pimpinan untuk memimpin kaum Bani Israel agar bertaqwa kepada Allah. Diantaranya ialah Nabi Allah Samwil, Nabi Allah Dawud dan Nabi Allah Sulaiman. Pada zaman Nabi Allah Sulaiman kaum Bani Israel meningkat ke mercu kejayaan.

Tetapi setelah Nabi Allah Sulaiman mangkat, dan pemerintahannya digantikan oleh anaknya Rahba’am, maka mulalah masa gemilang kerajaan Bani Israel itu pudar sedikit demi sedikit disebabkan mereka telah berpecah sesama sendiri. Satu pihak menegakkan Kerajaan Yuhudi dan satu pihak lagi menegakkan kerajaan Bani Israel. Mereka saling berperang dan ini menyebabkan keruntuhan kerajaan Bani Israel dan mulalah kerajaan-kerajaan yang berjiran mencelah dan menakluki kerajaan Bani Israel, adakalanya bangsa Mesir dan adakalanya bangsa Parsi.

Pada peringkat keempat, sejarah mereka, iaitu diantara tahun 635 sebelum Masihi dengan tahun 135 sesudah masihi, bukan sahaja kerajaan Parsi telah dapat menawan balik negeri Babylon dan telah menghalau mereka ke Palestin bahkan kerajaan Rom juga telah menyerang mereka yang diketuai oleh Iskandar Maqduni dan menakluki negeri Palestin . Sejak itu bergilir-gilir mereka dikuasai oleh kerajaan Parsi dan Rom, dua kerajaan yang sangat kuat di masa itu. Kaum Yahudi telah ditekan, dihina, diperkosa, dipaksa membayar ufti dan cukai kepada kerajaan negeri. Dan yang paling menyedihkan ialah agama mereka dihina, dipaksa menyembelih babi, dilarang berkhatan dan dirumah ibadat mereka dipaksa meletakkan patung Jupiter. Akhir sekali Baitul Maqdis iaitu tempat suci kaum Yahudi itu dihancurkan sama sekali oleh Raja Rom, Adrian dan disembelih kaum Yahudi tidak kurang 500000 orang. Dengan malapetaka ini kaum Yahudi semakin bertambah erat berpegang kepada agama dan persahabatan mereka.

Semenjak tahun 135 Masihi, tarikh hancurnya Baitul Maqdis ditangan Raja Adrian, maka berseleraklah kaumYahudi, saki baki dari penyembelihan yang dahsyat itu ke seluruh pelusuk bumi. Peringkat inilah peringkat terakhir yang dicatatkan tentang kewujudan kerajaan Bani israel yang dicatatkan oleh ahli sejarah.

Sehingga diutuskan Muhammad Rasulallah s.a.w kepada manusia dan membawa Al Quran yang membenarkan segala peristiwa Kaum Yahudi dan Bani Israel serta membenarkan segala isi kitab Taurat sebagaimana yang difirmankan Allah di dalam surah Al Baqarah :


“ Percayalah kamu dengan (kitab suci Al Quran)yang Aku turunkan, sedang ia (Quran itu)membenarkan kitab yang ada pada kamu (Taurat)” ( Baqarah : 41 )


Kemuliaan dan kehinaan Bani Israel secara ringkasnya Allah memuliakan kaum Bani Israel dengan dibangkitkan kebanyakan para Rasul dalam kalangan mereka dan firman Allah :


“ Hai anak-anak Bani Israel ! Ingatlah olehmu akan nikmatKu yang Aku anugerahkan kepadamu, dan bahawasanya Aku muliakan kamu daripada seisi alam.”( Al-Baqarah : 47 )


Di dalam Al Quran Allah ada menyebutkan sepuluh keistimewaan yang dikurniakanNya ke atas kaum Bani Israel sebagai nikmatnya yang besar iaitu :


a) Mereka diselamatkan dari kekejaman Firaun dengan diutuskan Nabi Allah Musa.


b) Laut Merah terbelah dua sehingga dapat mereka lalu untuk menyelamatkan diri mereka dari dikejar oleh Firaun dan tentera-tenteranya.


c) Orang-orang yang telah mati disambar petir kerana berlaku tidak taat pada perintah Allah dihidupkan kembali.


d) Allah menyelubungkan awan ke atas mereka dari panas matahari pada masa mereka hidup di padang pasir.


e) Allah menurunkan kepada mereka Mann dan Salwa iaitu hidangan makanan dari syurga.


f) Allah maafkan mereka atas segala kesalahan mereka menyembah berhala anak lembu semasa ketiadaan Nabi Allah Musa.


g) Allah menurunkan kepada mereka Taurat untuk menjadi panduan kepada kaum Bani Israel. Allah memancarkan dua belas mata air untuk minuman mereka ketika mereka kehausan di padang pasir yang tandus.


Hal di atas ini dapat dirujuk pada surah Al Baqarahdari ayat 49 hingga 60.


Namun setelah diberikan nikmat-nikmat Allah yang sebegitu banyak dan besar, Kaum Yahudi masih lagi berdegil dan menderhakai Allah dengan melakukan berbagai kesilapan dan kedosaan di antaranya:


a) Perkataan mereka yang berbunyi “Sami’na wa A’soina”yang ertinya kami hanya dengar tetapi tetap menderhaka.


b) Mereka menyembah anak lembu sebagai Tuhan


c) Perkataan mereka yang menderhaka yang bermakna “Tunjukkanlah kami rupa Allah dengan terangnya ”


d) Mereka berlaku zalim dan mengubah perkataan Allah Sejarah Kaum Bani Israel yang sebenarnya dengan perkataan yang lain kerana memperkecilkan perintah Allah.


e) Mereka mengatakan “ Kami tidak sabar dan jemu makan satu jenis makanan sahaja.”


f) Mereka berpaling dari Taurat.


g) Mereka melakukan kezaliman dengan menindas bangsa yang lain dan merasakan diri merekalah makhluq yang paling mulia di atas muka bumi ini.


h) Mereka membunuh para nabi yang dibangkitkan dalam kalangan mereka.


Hal ini dapat dirujuk pada surah Al Baqarah dari ayat61 hingga 82.


Firman Allah :

“Dan ketika Kami ambil persetiaan anak-anak Israel bahawa tiada boleh kamu menyembah selain dari Allah dan dengan ibu bapa kamu berbuat baiklah terhadap mereka, begitu juga terhadap karib kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin, dan berkatalah kepada manusia perkataanyang baik-baik dan kerjakanlah sembahyang dan keluarkanlah zakat, kemudian itu kamu berpaling,kecualai sedikit daripada kamu, dan kamu pun turut berpaling.” ( Al Baqarah : 83 )


“ Sesungguhnya telah kami turunkan kitab Taurat kepada Musa dan Kami iringi dibelakangnya dengan beberapa rasul dan Kami berikan kepada Isa anakMaryam beberapa keterangan (bahawa ia menjadi Rasul) dan Kami kuatkan dengan roh suci (Jibril).Adakah tiap-tiap Rasul yang datang kepada kamu membawa sesuatu yang tiada bersesuaian dengan kemahuan kamu, maka kamu bersifat sombong ?.Segolongan (Rasul-Rasul) itu kamu dustakan dan sebahagiannya kamu bunuh.” ( Al Baqarah : 87 )


“ Hai anak-anak Bani Israel (Yaakub). Ingatlah akan nikmat-nikmatKu yang ku berikan kepadamu, dansempurnakanlah janji (perintah) Aku, supaya bolehAku sempurnakan pula janjimu dan takutlah kamu kepadaKu.” ( Al Baqarah : 40 )


Tanah Rahmat

Bagi kedua-dua pihak Islam dan Yahudi, tanah yang didiami oleh Palestin dan Israel sekarang merupakan tanah yang istimewa, yang telah ditentukan oleh Allah sejak ribuan tahun lampau.

Bagi umat Islam, di tanah inilah terbinanya Masjidil Aqsa, iaitu masjid ketiga paling mulia di dunia ini, setelah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Bagi penganut Yahudi pula, tanah tersebut merupakan “Tanah Yang Dijanjikan Tuhan” kepada mereka. Di situlah nenek moyang mereka berasal (Bani Israel), dan di situlah kampung halaman mereka. Mereka percaya, di tanah itulah terletaknya Bukit Zion, dan situlah tertanamnya Temple of Solomon, iaitu kuil suci mereka.

Atas kedua-dua sebab inilah, tanah tersebut menjadi rebutan antara Muslim dan Yahudi sejak dari dahulu, hinggalah membawa kepada pertumpahan darah sekarang.

Bagaimana dengan Kristian pula? Kristian juga, menganggap tanah tersebut sebagai tanah suci. Di Temple of Nazareth, yang terletak di tanah tersebut, merupakan tempat kelahiran Nabi Isa. Di tanah itulah Nabi Isa menyampaikan ajarannya, dan di tanah itu jugalah Nabi Isa disalib.



Sejarah Awal

Kita susuri sejarah tanah Palestin tersebut, sehingga membawa kita kepada kisah Nabi Musa. Kisah inilah yang menjadi sejarah kepada terbentuknya Bani Israel. Kita tahu melalui alQuran, bahawa Firaun dan tenteranya mengejar Nabi Musa dan kaumnya sehingga ke Laut Merah, di mana ketika itu Nabi Musa menggunakan mukjizatnya membelah dan menyeberangi lautan tersebut.

Setelah itulah Nabi Musa dan kaumnya Bani Israel mendiami tanah Palestin tersebut. Kita boleh baca sendiri dalam alQuran, betapa kaum ini semakin lama semakin “besar kepala”, meminta yang pelbagai dari Nabi Musa dan sebagainya. Kita juga boleh lihat kisah Talut dan Jalut yang berlaku setelah kewafatan Nabi Musa, sebagaimana yang diceritakan di dalam alQuran di surah alBaqarah.

Setelah Talut menawan kembali tanah palestin tersebut dari kekuasaan Jalut, Palestin dimiliki oleh Bani Israel, sehinggalah lebih kurang 60 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa. Pada tempoh ini, kerajaan Rom menekan kependudukan Bani Israel di tanah Palestin tersebut, sehinggalah akhirnya tanah Palestin dijarah oleh tentera Rom dan kaum Bani Israel diusir keluar lalu. Lalu tersebarlah kaum Bani Israel, atau dikenali sekarang sebagai Yahudi, ke serata dunia.

Sejak dari itu, tanah Palestin menjadi milik kerajaan Rom. Sehinggalah setelah kelahiran Nabi Isa, seterusnya kewujudan agama Kristian. Lebih kurang pada tahun 300 Masihi, kerajaan Rom di bawah pemerintahan Raja Constantine yang menjadikan Constantinople sebagai pusat pemerintahan, mengalami Kristianisasi. Sejak dari tempoh tersebut, kerajaan Rom menguasai Palestin.




Kedatangan Islam

Palestin kekal di bawah milik kerajaan Rom sehinggalah kelahiran Nabi kita Muhammad s.a.w. Setelah Rasulullah berjaya menubuhkan Empayar Islam, beliau wafat pada 632 Masihi. Seterusnya empayar Islam semakin berkembang, dan Palestin berjaya ditawan dari kerajaan Rom pada tahun 638 Masihi. Maka sedari itulah Palestin menjadi milik Islam, sebagai tanah suci yang ketiga selepas Makkah dan Madinah.

Sepanjang dari tempoh tersebut, kerajaan Rom yang telah menjalani Kristianisasi, mengalami pelbagai perubahan dari sudut struktur pemerintahan. Bangsa-bangsa asal Eropah seperti Vikings, Magyar dan sebagainya dikristiankan, dan pemerintahan dikuasai oleh golongan Church.

Sejak dari 1000 Masihi, tentera Kristian telah melakukan pelbagai usaha menawan kembali Palestin. Pada tahun 1063, Pope Alexander II memberikan “fatwa” mengerahkan penganut Kristian untuk berjuang mendapatkan kembali Palestin, dan barangsiapa yang berjuang diberikan status kemuliaan dan pengampunan tertinggi. Itulah yang dikenali sebagai Perang Salib (Crusades)

Akhirnya pada tahun 1099, tentera Salib berjaya menawan Palestin, dan menguasai tanah suci tersebut selama hampir 200 tahun.



Menawan Semula

Setelah Palestin ditawan, kerajaan Islam yang sedia ada konflik dalaman pada ketika itu, semakin hilang semangat. Keadaan berlanjutan sehinggalah lahirnya seorang pemimpin agung, yang dikenali sebagai Salahuddin Al Ayyubi. Salahuddin Al Ayyubi, menyatukan masyarakat Arab yang ketika itu berpecah belah akibat perbezaan mazhab dan aliran, seterusnya membawa tentera Islam menyerang kembali Palestin. Akhirnya, pada sekitar tahun 1187, ibunegara Palestin berjaya ditawan, dan pada tahun 1291 kubu terakhir tentera Salib di tanah suci tersebut berjaya dimusnahkan.

Sejak itulah tanah suci Palestin kekal di bawah pemerintahan Islam dengan aman damai. Malahan, penduduk asal Palestin iaitu Yahudi/Bani Israel dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka, walaupun masih ramai yang bermastautin di luar. Kerajaan Islam berkembang meluas, hinggalah masuk ke era pemerintahan Turki Uthmaniyyah.

Zaman Turki Uthmaniyyah mengalami kejatuhan sejak dari abad ke-19 lagi. Proses modenisasi semakin berlaku, dan kebergantungan terhadap kuasa barat semakin wujud. Krisis-krisis dan konflik dalaman melemahkan lagi kekuasaan empayar Turki Uthmaniyyah. Khalifah pada masa tersebut hanyalah pada namaEmpayar Islam semakin lemah, di bawah kekuasaan barat seperti Britain dan Perancis.



Perang Dunia Pertama

Akhirnya, pada tahun 1914, tercetusnya perang dunia pertama. Perang dunia pertama terdiri daripada 2 kuasa besar, iaitu Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Russia menentang Pakatan Pusat iaitu Jerman dan Austria/Hungary. Setelah perang berterusan, negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Italy menyertai Pakatan Bertiga, manakala Kerajaan Turki Uthmaniyah pula menyertai Pakatan Pusat.

Berada di bawah Pakatan Pusat, kerajaan Turki Uthmaniyyah diserang hebat oleh Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Russia. Kerajaan Islam Timur diserang dan ditawan oleh Britain. Kerajaan Islam Barat yang menjangkaui sehingga ke Algeria, Sudan dan negara-negara utara Afrika, dikuasai oleh Perancis. Kerajaan Islam juga diserang dari utara, oleh Russia, menyaksikan Russia menawan kawasan utara kerajaan Islam.

Perlu diberi perhatian, pada ketika ini, masih belum wujud negara bangsa, kerajaan Islam adalah disatukan di bawah satu pemerintahan khalifah, manakala setiap kawasan pula ditadbir oleh gabenor masing-masing.



Perpecahan Negara Arab

Pada ketika tempoh inilah, kerajaan Turki Uthmaniyyah mengalami konflik yang semakin hebat. Britain melalui perisiknya yang dikenali sebagai Lawrence of Arabia, menyuburkan semangat nasionalisma di negara-negara Arab. Pejuang kebangsaan/nasionalisma Arab pula menyerang kerajaan Turki Uthmaniyyah. Pemerintah Arab ketika itu, Emir Faisal 1, berpaling tadah dan memihak kepada Britain. Sejak dari itulah kerajaan Arab menjadi tali barut Britain.

Pada tahun 1915, Britain mula menduduki kawasan Iraq. Akhirnya pada 1917, Britain menduduki semula kawasan Palestin. Tentera Britain, diketuai General Allenby, memasuki Palestin pada 9 Disember 1917 lalu memberi ucapan - “hari ini, perang salib sudah berakhir”.

Pada 1917, Britain mengisytiharkan Deklarasi Balfour, iaitu perjanjian antara kerajaan Britain dengan ketua persatuan Yahudi Britain ketika itu, yang mana antaranya menjanjikan tanah Palestin kepada Yahudi. Penempatan Yahudi di Palestin meningkat, dari 50,000 sebelum itu kepada mencecah setengah juta, manakalan penduduk Islam Palestin ketika itu hampir mencecah 1.4 juta.

Wakil dari Yahudi ketika deklarasi tersebut, merupakan seorang Yahudi bernama Chaim Weizzmann. Weizzman juga merupakan seorang saintis, malahan saintis pertama yang menghasilkan bahan kimia acetone, seterusnya acetone digunakan sebagai cordite, iaitu sejenis bahan letupan yang menyumbang besar kepada kejayaan Britain dalam perang tersebut. Weizzman mendesak setiausaha luar Britain ketika itu, Arthur Balfour, supaya diadakan Deklarasi tersebut. Kerana terhutang budi ke atas sumbangan Weizzman, kerajaan Britain bersetuju. Pada mulanya, Britain menawarkan tanah di Uganda kepada Weizmann, namun Weizmann menolak dan mahukan Palestin. Dikatakan, Weizmann bertanya kepada Balfour,

“Encik Balfour, katakanlah saya menawarkan Paris dan London kepada encik, yang mana satukah yang encik mahukan?”

“Tetapi, kami sememangnya sudah memiliki London!”

“Betul itu, tetapi ketika London masih lagi sebuah kawasan paya, kami telahpun memiliki tanah Palestin!”

Akhirnya, British membenarkan kaum Yahudi berhijrah ke tanah Palestin.

Pada tahun 1919, Emir Faisal I ketika itu pula menandatangani perjanjian antara beliau dengan Chaim Weizzmann, menyatakan sokongan sepenuhnya beliau dan kerajaan Arab kepada Deklarasi Balfour.

Akhirnya pada tahun 1919, berakhirnya Perang Dunia Pertama. Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah menerima tamparan hebat setelah kehilangan kawasan-kawasannya yang luas, termasuklah Palestin. British dan Perancis mula menjalankan kolonisasi di tanah-tanah jajahannya. Dari situ wujudlah negara bangsa, apabila sempadan-sempadan digariskan memisahkan sempadan agama.



Kejatuhan Turki Uthmaniyyah

Pada tahun 1918, tentera kolonial Britain menduduki pusat pemerintahan Turki Uthmaniyyah, iaitu Istanbul. Pada tahun 1922, setelah tamat Perang Dunia Pertama, sebuah Persidangan Lausanne diadakan, yang antaranya mempunyai beberapa tuntutan seperti - sistem khalifah ditamatkan, khalifah mestilah dibuang negeri, harta khalifah dirampas, dan kerajaan turki baru akan ditubuhkan atas dasar sekular. Ya, persidangan tersebut menjanjikan kemerdekaan ke atas negara Turki.

Seorang ahli Parlimen Turki pernah bertanya kepada Lord Curzon, ketua perunding pihak pakatan ketika itu - “Kenapa hanya Turki dimerdekakan, sedangkan negara-negara Arab yang lain masih di bawah pemerintahan kolonial?”

Lord Curzon menjawab - “Hakikatnya Turki telah dimusnahkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatannya - Khalifah dan Islam.

Dalangnya utamanya, Mustafa Kamal Attartuk. Dia mengeluarkan ugutan ke atas kabinet turki ketika itu, lalu merombak parlimen sedia ada yang tidak bersetuju dengan persidangan tersebut. Parlimen kedua yang ditubuhkan juga tidak bersetuju dengan persidangan tersebut. Akhirnya, Mustafa Kamal Attartuk mengadakan konspirasi politik lalu merampas tampuk pemerintahan.

3 Mac 1924, kerajaan khalifah secara rasminya ditamatkan. Pada pagi hari tersebut juga, khalifah terakhir, khalifah Abdul Mejid II, diusir keluar dan dibuang negeri. Mustafa Kamal Attartuk mengambil mengambil takhta, dan proses pengsekularan bermula.



Holocaust

Keadaan berterusan, sehinggalah naiknya seorang pemerintah Jerman ketika itu, iaitu Adolf Hitler. Ketika tercetusnya perang dunia kedua oleh beberapa sebab, Hitler melaksanakan pelan pemusnahan kaum yang dikenali sebagai Action T4. Pelan ini merencanakan pembunuhan euthanasia beramai-ramai keatas golongan tertentu, majoritinya Yahudi.

Setelah tamat Perang Dunia Kedua, dianggarkan seramai hampir 6 juta Yahudi di seluruh Eropah mati dibunuh.

Setelah mengalami kerugian yang besar, Britain berundur dari Palestin dan tanah-tanah jajahannya yang lain pada 1948.



Penglibatan Amerika Syarikat

Amerika Syarikat, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memainkan peranan penting dalam penubuhan negara Israel. Pada asalnya, Israel tidaklah wujud sebagai sebuah negara yang hakiki. Setelah holocaust yang dilakukan oleh Hitler tamat, jumlah penduduk Yahudi yang ada adalah sedikit, serta mereka hidup dalam kesusahan dan ketakutan.

Pada ketika itulah, Persatuan Yahudi Amerika mengutuskan tuntutan kepada Presiden US ketika itu, Harry Truman. Pada November 1947, tuntutan tersebut dibawa ke persidangan PBB lalu PBB mendeklarasi pemisahan Palestin. Pada 16 May 1948, kerajaan sementara Israel ditubuhkan di Palestin, dengan sokongan dari PBB. Presiden Harry Truman menyokong sepenuhnya penubuhan Israel, maka wujudlah penempatan Israel di tanah Palestin sehingga kini. Presiden Israel yang pertama - Chaim Weizmann.



Palestin Sekarang

Sejak dari holocaust, ramai Yahudi berhijrah ke Amerika atas dasar terbuka negara tersebut terhadap mereka, serta ramai juga yang pulang ke tanah air di Israel. Yahudi di Amerika diterima dengan tangan terbuka, bantuan dan pekerjaan diberikan kepada mereka atas dasar belas kasihan akibat holocaust tersebut. Dari situlah, Yahudi di Amerika berkembang dan memegang tampuk ekonomi dan pentadbiran Amerika. Amerika, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memberikan sokongan tanpa putus-putus kepada negara Israel, yang didirikan di atas tanah Palestin yang dirampas secara haram.

Sehingga kini, Israel terus-terusan menyerang Palestin dalam usaha meluaskan sempadannya. Palestin pula berjihad, dalam usaha menawan kembali Masjidil Aqsa. Sejak kerajaan khalifah Islam tumbang, tiada sesiapa lagi yang mahu menyokong Palestin. Negara-negara Islam yang lain tunduk takut dan akur kepada Amerika. Sampai bila keadaan ini akan berakhir? Hanya 2 - sama ada Palestin akan terus dihapuskan dan Masjidil Aqsa dimusnahkan dalam usaha mereka mencari Temple of Solomon, ataupun tertegaknya kembali kerajaan khalifah Islam menyokong perjuangan Palestin.

Di mana kita? Kita boleh berdiam diri tidak berbuat apa-apa, sekaligus menjadikan kesudahan yang pertama tadi sebagai realiti.

Ataupun, kita boleh berusaha melakukan sedaya upaya menyokong perjuangan Palestin, yang membawa kepada kesudahan yang kedua.


Sumber : http://lembahbujang.blogspot
http://leokid.com/

No comments:

Blog Widget by LinkWithin
 

gergento@gmail.com