09 September 2009

Hukuman Sebat Menurut Syariah


Email yang diterima daripada seorang sahabat membuatkan saya terpanggil membicarakan tentang isu sebat Kartika. Ada orang menganggap isu ini sengaja digembar-gemburkan untuk tujuan publisiti. Namun perlu kita akui banyak hikmahnya apabila isu ini tiba-tiba timbul. Sebagai masyarakat marhaen banyak juga perkara baru yang kita pelajari. Isu sebat Kartika sedikit sebanyak membuka mata semua orang tentang indahnya hukum Islam sehingga menghukum pun tidak sampai menyeksakan si pesalah. Tujuan utama hukuman adalah memberi pengajaran, kesedaran dan keinsafan kepada si pesalah dan masyarakat. Mari kita sama-sama belajar dan dalami indahnya Islam. Amat malang dan lucu dengan alasan tidak dapat melaksanakan hukuman tersebut kerana tiada petugas yang berkebolehan dan mahir dengan pelaksanaan hukuman sebat menurut hukum syarak. Rasanya pihak yang sepatutnya melaksanakan hukuman rotan mengikut syarak menghantar pegawai-pegawainya pergi berkursus di daerah, negeri atau negara yang mengamalkan hukum Islam seperti di Acheh. Perlu kita akui bahawa nyatalah negara kita belum bersedia menjadi sebuah negara yang mengamalkan undang-undang Islam.
Teringat pula pada cerita ‘Semerah Padi’, iaitu sebuah cerita P.Ramlee, yang memaparkan bagaimana hukuman rotan dilaksanakan. Dan bagaimana peristiwa dan kesalahan tersebut dapat diselesaikan dengan baik. Sebagai manusia biasa kita tidak terlepas melakukan kesalahan. Kesalahan itu adalah dugaan kepada insan yang bernama manusia.
Apa yang paling penting untuk difahami ialah cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam, kerana mengikut Islam sebatan ini perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat. Cara sebatan yang diamalkan sekarang adalah mengikut teknik dan kaedah barat yang bertujuan untuk menyeksakan si pesalah. Jika dahulu di barat ada pesalah yang dihukum dengan seksaan mencabut kuku, dikelar dan sebagainya.

Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak. Sebatan juga tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja. Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi



Hukuman Rotan Sivil

Hukuman Rotan Sivil


Maklumat Ringkas:
SEBAT CARA ISLAM
1. Panjang rotan tidak lebih 1.22 meter , tebal tidak lebih 1.25 sm
2. Jika pesalah hamil, hukuman dilaksanakan selepas 2 bulan melahirkan anak.
3. Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.
4. Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk.
5. Sebatan dengan kekuatan sederhana.
6. Tukang sebat tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala.
7. Tidak melukakan kulit pesalah.

SEBAT CARA SIVIL
1. Rotan yang digunakan terdiri daripada berbagai-bagai saiz.
2. Pesalah akan ditanggalkan pakaiannya dan digantikan dengan pakaian cawat.
3. Pakaian cawat hanya menutupi bahagian kemaluan depan sahaja.
4. Bahagian daging punggung akan terdedah untuk disebat.
5. Pesalah akan dibaringkan secara berdiri pada patung yang dikhaskan dan diikat kedua kaki dan tangan.
6. Sesetengah tukang sebat menyebat dengan cara terus.
7. Sesetengah tukang sebat menyebat dengan cara sentapan.
8. Sebatan dengan cara sentapan lebih menyakitkan kerana pesalah dapat merasakan cebisan kulit tersentap keluar.

"YANG MANA ADIL, YANG MANA ZALIM?"

Firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 6 yang Tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

1 comment:

AJ said...

assalamualaikumm.
bagus la maklumat ni..
cikgu semak la blog saya
www.ajshafa.blogspot.com

Blog Widget by LinkWithin
 

gergento@gmail.com